Khamis, 9 Julai 2009

Pokok-pokok kebaikan di dunia

ALLAH beri bermacam-macam kebaikan di dunia buat hamba-hamba yang
dikehendaki- Nya. Dan segala kebaikan itu pula bermanfaat untuk akhirat
mereka. Bagaimana kita hendak tahu kita telah mendapat kebaikan di
dunia atau tidak? Apa kata para ulama mengenai kebaikan di dunia itu?

Ulama-ulama dahulu termasuk Ibnu Katsir, telah menyenaraikan apa itu
kebaikan di dunia di dalam kitab-kitab mereka. Apa yang mereka
senaraikan itu semuanya dilihat dari neraca agama dan penilaian Allah
serta bertepatan dengan fitrah manusia yang inginkan kebaikan dalam
hidup.

Kebaikan yang disenaraikan itu meliputi perkara-perkara berikut:
kesihatan, isteri yang solehah, rezeki yang luas lagi halal, anak-anak
penyejuk hati, kerehatan, ilmu yang bermanfaat, amal soleh, rumah yang
aman, kenderaan yang baik, dan pandangan baik dari orang.
Kebaikan di dunia juga menurut ulama merangkumi limpahan segala nikmat, kesejahteraan hidup dan taufik dari Allah Yang Esa.

Ada juga ulama mengatakan kebaikan di dunia itu meliputi tiga
perkara iaitu hati yang bersyukur, lidah yang berzikir dan tubuh badan
yang sabar (dalam menanggung ujian Allah). Tiga perkara ini terkandung
dalam doa yang diamalkan oleh Rasulullah SAW.
Senarai kebaikan di dunia oleh ulama-ulama ini bukan hanya dilihat
pada perkara-perkara lahir yang dapat dipandang mata tetapi juga
perkara-perkara batin yang dapat dirasai oleh hati. Perkara-perkara itu
adalah pokok-pokok kebaikan di dunia.

Pokok-pokok Kebaikan Di Dunia

Apa rasionalnya mereka mengatakan demikian? Kenapa dikatakan semua itu kebaikan di dunia? Mari kita lihat dan cuba huraikan:

1. Mendapat taufik dan hidayah Allah SWT
Orang yang mendapat taufik dan hidayah ertinya dia seorang yang
dibantu oleh Allah untuk mengamalkan Islam. Islam bererti "selamat".
Orang Islam kalau kekal mendapat taufik dan hidayah dari Allah, akan
selamat di dunia dan akhirat. Sabda Rasulullah SAW : "Sungguh beruntung
orang yang beragama Islam..." (Hadis Riwayat Muslim)

Dari Abi Zar r.a., Rasulullah SAW bersabda, (Hadith Qudsi) "Firman
Allah Taala: Wahai hamba-hamba- Ku, Aku telah haramkan ke ats diri-Ku
kezaliman dan Aku jadikan kezaliman itu juga haram ke ats kamu semua
maka janganlah berlaku zalim sesama sendiri.
Wahai hamba-hamba- Ku, semua kamu adalah sesat kecuali orang-orang
yang mendapat petunjuk-Ku, maka mintalah hidayah daripada-Ku, nescaya
akan Aku berikan. Wahai hamba-hamba- Ku semua kamu adalah dalam
kelaparan kecuali orang yang mendapat makanan daripada-Ku, maka
mintalah daripada-Ku nescaya Aku berikan kepadamu.

Wahai hamba-hamba- Ku semua kamu adalah tidak berpakaian kecuali
orang yang Aku berikan kepadanya pakaian, maka mintalah daripada-Ku
nescaya akan Aku berikan. Wahai hamba-hamba- Ku, kamu semua melakukan
salah dan silap setiap masa dan Aku adalah pengampun dosa-dosa, maka
pohonlah keampunan daripada-Ku nescaya Aku akan ampunkan..." (Hadis
Riwayat Muslim)

2. Diberi kefahaman dalam agama
Untuk amalkan Islam perlukan kefahaman. Siapa yang diberi kefahaman
tentang Islam juga dikira telah mendapat kebaikan di dunia. Orang Islam
yang tidak diberi kefahaman tentang Islam oleh Allah akan mengamalkan
apa yang disangkanya dari ajaran Islam tetapi sebenarnya menyeleweng
dari Islam. Hidupnya tak akan benar-benar selamat dan tak mampu
menyelamatkan orang lain.
Sabda Rasulullah SAW : "Barangsiapa yang Allah menghendaki kebaikan
kepadanya, Dia akan menjadikannya faham dalam agama." (Riwayat Bukhari
dan Muslim)

3. Dapat berbuat amalan soleh
Dengan kefahaman agama yang Allah beri, seseorang itu dapat berbuat
amal soleh. Ini juga merupakan kebaikan di dunia kerana hidup akan
terisi perkara baik dan tidak terumbang-ambing. Firman Allah yang
bermaksud: "Katakanlah: "Hai hamba-hamba- Ku yang beriman, bertakwalah
kepada Tuhanmu". Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperolehi
'hasanah' (kebaikan). Dan bumi Allah itu adalah luas. Sesungguhnya
hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa
batas." (Surah Az-Zumar, ayat 10)

4. Mendapat ilmu yang bermanfaat
Ilmu yang bermanfaat adalah panduan untuk mengisi hidup dengan
perkara-perkara baik dan selamat. Sebab itu Rasulullah SAW berdoa: "Ya
Allah ya Tuhanku, berikanlah manfaat kepadaku dari apa-apa Engkau
ajarkan kepadaku dan ajarkan daku apa-apa yang bermanfaat buat diriku."
(Hadis Riwayat at-Tabrani)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang berkehendakkan
dunia maka hendaklah ia berilmu, sesiapa yang berkehendakkan akhirat
maka hendaklah ia berilmu dan sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya
maka hendaklah ia berilmu." (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Ilmu pengetahuan menurut Islam sama ada yang berunsur keduniaan
mahupun keakhiratan adalah bersifat sepadu (integrated) dan saling
berhubung di antara satu sama lain. Berasaskan pegangan inilah maka
kehidupan dunia akan dapat dijadikan persediaan untuk kehidupan di
akhirat.

Ilmu terbahagi kepada dua iaitu ilmu naqliyah yang berteraskan wahyu
seperti aqidah, syariah dan akhlak dan ilmu aqliyah iaitu ilmu yang
pada zahirnya dipandu oleh akal bagi memperolehi kejayaan dan kemajuan
duniawi. Kedua-dua jenis ilmu ini bersepadu bagi mencapai satu matlamat
iaitu keredhaan Allah SWT.

Islam menggalakkan umatnya memiliki seberapa banyak ilmu dalam usaha
mencari kehidupan yang baik dan sempurna disamping memajukan masyarakat
menurut lunas-lunas yang dibenarkan oleh Islam.

5. Mendapat isteri yang solehah

Kebahagiaan hidup adalah perkara yang semua orang impikan.
Kebahagiaan selalunya bermula di rumah. Siapa yang mendapat pasangan
hidup yang baik patut bersyukur kerana di situlah tanda kebahagiaannya.
Isteri atau suami yang baik ini juga membantu seseorang mendekatkan
diri kepada Allah. Itulah antara kebaikan di dunia buatnya.

Sabda Rasulullah SAW : "Empat dari tanda-tanda kebahagiaan
seseorang: Isterinya solehah, anak-anaknya abrar (soleh),
teman-temannya orang soleh dan sumber rezekinya di negerinya sendiri."
(Hadis Riwayat ad-Dailami dari Ali r.a.)
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Apabila seseorang isteri
meninggal dunia dan suaminya redha kepadanya, maka ia akan masuk
syurga." (Hadis Riwayat Tirmidzi dan Ibn Majah)

Islam telah menggariskan peranan suami dan isteri dengan jelas di
mana suami mestilah bersedia untuk mentadbir rumah tangga dan isteri
pula mestilah bersedia untuk mentaati perintah suami.

Syurga anak adalah di telapak kaki ibunya manakala syurga isteri
adalah apabila taatkan suaminya. Taat di sini bererti patuh kepada
perintah dan kehendak suami kecuali apabila suami menyuruh melakukan
dosa. Ia menduduki tempat kedua selepas taat kepada Allah dan Rasul.

Ketaatan isteri berkait rapat dengan keperibadian suami di mana
kuasa suami bukan terletak pada kekuatan fizikalnya tetapi terletak
pada iman, ilmu dan kesabarannya. Dengan demikian barulah kepimpinannya
menjadi lebih mantap dan dihormati isteri.
Kunci kerukunan rumah tangga adalah persefahaman antara suami
isteri. Oleh itu Islam telah menyarankan bahawa dalam mencari isteri
idaman hendaklah dari kalangan wanita yang mempunyai empat ciri seperti
berketurunan baik, elok paras rupanya, berharta, dan kuat pegangan
agamanya.

Namun yang perlu diutamakan adalah yang solehah (beriman) agar mudah
untuk dididik dan beberapa masalah rumah tangga dapat dielakkan seperti
isteri nusyuz dan sebagainya.

Setiap wanita Islam hendaklah menyedari tentang hak-haknya yang
telah digariskan oleh syarak agar tidak berlaku kekeliruan dalam
mentaati suami sehingga menjadi mangsa penderaan oleh suami yang tidak
bertanggungjwab.
Oleh itu seorang isteri yang solehah adalah yang mencakupi erti kata
wanita yang berilmu dan beriman. Dengan demikian rumah tangga akan
sentiasa aman dan bahagia.

Namun ada juga orang yang Allah beri kebaikan walaupun tidak
mendapat pasangan hidup yang soleh atau solehah. Buat mereka Allah
kurniakan pahala sabar dalam mendidik atau sabar dalam menghadapi
kerenah pasangannya.
6. Mendapat zuriat penyejuk hati

Betapa sejuknya hati kalau anak-anak taat, hormat dan tahu berbakti.
Tanpa tiga perkara ini, tidak ada erti kepandaian, kedudukan dan
jawatan tinggi yang dibangga-banggakan pada anak. Anak yang baik akan
terus memberi manfaat setelah kematian kita. Pahala amalan baiknya
hasil didikan kita terus mengalir kepada kita dan kita juga menerima
kebaikan dari doa mereka.

Dalam riwayat yang lain, Rasulullah SAW telah bersabda yang
bermaksud : "Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang
solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa."
(Hadis Riwayat Ibnu Hibban)

Kehidupan yang selesa adalah suatu bentuk kehidupan yang
dialu-alukan oleh Islam di mana kehidupan yang sempurna memerlukan
empat elemen asas yang penting iaitu:

Wanita yang solehah- iaitu isteri yang baik yang dapat menguruskan keluarga dan rumahtangga dengan sempurna.
Rumah yang luas yang boleh memberikan keselesaan untuk bermesra
dengan keluarga dan anak-anak di samping dapat melapangkan fikiran
dengan baik dan tenang.

Jiran yang baik kerana jiran merupakan orang yang paling rapat
selepas sanak saudara dan keluarga. Jiran yang baik dapat menjamin
keharmonian hidup bermasyarakat sehinggakan ikatan kejiranan itu boleh
bertukar seakan-akan sebuah kelurga yang kasih-mengasihi dan saling
mengambil berat di antara satu sama lain.

Kenderaan yang selesa kerana ia memberikan kemudahan dalam segala urusan.
Antara tabiat buruk yang mengancam kebahagiaan hidup ialah
berfoya-foya dengan kehidupan mewah, boros harta dan membazir ketika
berbelanja.

Tabiat ini sering disebut dalam al-Quran sebagai punca kehancuran beberapa umat yang terdahulu.
Kemewahan hidup berbeza antara satu zaman dengan zaman yang lain,
mungkin mewah pada suatu ketika dahulu, tidak dianggap mewah pada hari
ini, kerana perbezaan masa, suasana dan pendapatan menjadikan ukuran
kemewahan turut berbeza.

7. Mendapat kawan-kawan yang solihin
Perkara ini juga disebut dalam hadis sebagai tanda kebahagiaan.
Kawan yang baik akan tegur kesalahan kita dan mengajak kita buat baik.
Kawan yang soleh atau solehah ini akan bawa kita ke jalan hidup
selamat. Mereka tempat berkongsi masalah dan kegagalan, bukan hanya
berkongsi senang dan kejayaan.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya, "Manusia yang paling dikasihi
Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan
yang paling disukai oleh Allah ialah menggembirakan hati orang-orang
Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan
keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar.

Perjalananku bersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan
hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di dalam
masjid ini selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya
sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi
keredhaannya di dalam hatinya pada hari Qiamat, dan sesiapa yang
berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk menunaikan hajat
saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan tetapkan
kakinya (ketika melalui pada hari Qiamat) dan sesungguhnya akhlak yang
buruk akan merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu." (Hadis
Riwayat Ibnu Abi Dunya)
Berbuat baik dan memberi keselesaan kepada orang lain akan diganjari
Allah dengan balasan yang berlipat ganda sama ada berupa pahala,
kebaikan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Semua ini akan dapat dilakukan sekiranya seseorang itu mempunyai
keimanan dan keikhlasan di hatinya sehingga segala tindakan-tindakan
yang dilakukannya sentiasa melahirkan kebaikan pada dirinya dan dalam
hubungannya dengan orang lain serta masyarakat di sekelilingnya.

8. Kesihatan, kesejahteraan dan kelapangan
Dengan kesihatan yang baik, banyak perkara dapat dilakukan dalam
hidup ini. Orang Mukmin memanfaatkan kesihatan untuk buat sebanyak
mungkin kebaikan sebelum datangnya sakit. Kesihatan juga sering
dikaitkan dengan kesejahteraan hidup. Rasulullah SAW memohon: "Ya
Allah, `afiatkanlah tubuh badanku dan `afiatkanlah pendengaranku. "
(Hadis Riwayat Ibnu Syaibah)
Daripada Abdullah ibn Abbas r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda,
"Dua jenis nikmat yang kebanyakan manusia menerima kerugian yang besar
iaitu kesihatan dan kelapangan." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Seseorang itu hendaklah menjaga kesihatan yang mana kesihatan itu
adalah satu nikmat daripada Allah, hendaklah digunakan masa sihat itu
dengan amal kebajikan dan amalan salih sebelum sakit. Seseorang itu
janganlah mensia-siakan masa lapangnya terbiar begitu sahaja, ianya
hendaklah digunakan untuk melakukan semua perintah Allah yang diredai.
Kedua nikmat sihat dan kelapangan itu adalah cubaan Allah ke atas
manusia. Oleh itu hendaklah digunakan masa sihat dan lapang itu untuk
memerangi hawa nafsu. Sesiapa yang berjaya pasti akan mendapat
kemenangan begitu juga sebaliknya.

9. Panjang umur di dalam ketaatan
Hampir setiap orang mahu hidup lama, kecuali orang yang putus asa
dengan hidup. Paling baik kalau dapat panjang umur sambil berbuat
ketaatan kepada Allah. Sabda Rasulullah SAW : "Sesungguhnya
sehabis-habis kebahagiaan itu ialah panjang umur di dalam mentaati
Allah." (Hadis Riwayat Khotib daripada Abdullah dari bapanya)

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang mati pada masa ia
dalam keadaan taatkan Allah, beramal soleh, maka ia dibangkitkan oleh
Allah hidup kembali dengan keadaan yang menyukakannya; dan sesiapa yang
mati pada masa ia dalam keadaan derhaka kepada Allah, berbuat jahat,
maka ia dihidupkan kembali dengan keadaan yang mendukacitakannya. "
(Hadis Riwayat Jabir r.a.)

10. Mendapat rezeki yang halal
Rasulullah SAW menekankan agar umatnya berusaha mendapatkan rezeki
halal kerana ia akan memberkatkan hidup. Dalam satu hadis, baginda
mengatakan bahawa mencari rezeki yang halal itu satu jihad. Malah
sabdanya: "Amalan yang paling utama itu ialah mencari rezeki dari usaha
yang halal." (Hadis Riwayat al-Hakim)

Dari Abdullah bin Amru bin `Ash r.a. katanya, Rasulullah SAW
bersabda: "Sungguh amat beruntunglah orang yang Islam (berserah diri)
dan merasa cukup dengan apa yang direzekikan Allah serta berpada dengan
apa yang diberikan-Nya. " (Hadis Riwayat Muslim)
Rasulullah SAW telah menasihatkan kita agar melihat kepada orang
yang di bawah. Jangan melihat kepada orang yang di atas (lebih bernasib
baik) kerana yang demikian itu akan membuatkan kita menjadi tidak
bersyukur. Namun itulah masalahnya yang berlaku pada setiap daripada
kita. Sentiasa mengejar peluang yang lebih baik. Sentiasa mahukan yang
lebih banyak. Tetapi ini bukan pula bererti bahawa kita tidak boleh
mengejar yang lebih baik. Rezeki itu hak dan kepunyaan Allah. Maka
bermohonlah kepada Yang Memiliki rezeki itu kerana tiada rezeki untuk
kita tanpa ada keizinan daripada-Nya.

11. Beroleh keimanan dan ketakwaan
Dengan iman dan takwa, seseorang itu mulia di sisi Allah dan di sisi
manusia. Siapa yang tak sukakan kemuliaan? Sabda Rasulullah SAW :
"Semulia-mulia manusia adalah orang yang paling bertakwa di antara
kamu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Baginda juga bersabda : "Hendaklah kamu bertakwa, kerana ia merangkumi semua kebaikan." (Hadis Riwayat Abu Ya´ala)
Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah
mengasihi hambanya yang bersifat Taqwa, kaya jiwa serta tidak
menonjolkan diri (merendah diri walaupun berpangkat tinggi)." (Hadis
Riwayat Muslim)

Yang dimaksudkan dengan kaya di sini ialah kaya jiwa bukan kaya
harta sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis. Tiga perkara yang
apabila dilakukan oleh seseorang maka ia dikasihi oleh Allah SWT ialah :
BertaqwaKaya Jiwa (Berakhlak mulia)Tidak menonjolkan diri

Setiap umat Islam hendaklah sentiasa memperbaiki dirinya dari masa
ke semasa dengan menanamkan tiga sifat tersebut diatas secara
berperingkat- peringkat. Islam menyuruh umatnya supaya bertaqwa kepada
Allah dan mempunyai sifat-sifat yang mulia dan berbudi bahasa, jangan
bersifat sombong, ego dan sebagainya yang boleh menjatuh dan
merendahkan mertabat kemuliaan manusia itu sendiri.

12. Banyak mengingati Allah SWT
Nikmat paling besar yang manusia cari-cari dalam hidup ialah nikmat
ketenangan. Orang Mukmin adalah orang yang hidupnya penuh ketenangan.
Firman-Nya: "...orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi
tenteram dengan mengingat Allah. Sesungguhnya hanya dengan mengingati
Allah itu, hati akan menjadi tenteram (tenang)." (Surah Ar-Ra´ad, ayat
28)

Sabda Rasulullah SAW : "Aku berpesan kepada kamu semua supaya
mengingati Allah, kerana hal itu dapat menghiburkan hati kamu dari
segala kesulitan duniawi." (Hadis Riwayat ad-Dailami)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Tujuh golongan manusia
yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang
tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu: Imam
(pemimpin) yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah,
lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang yang
saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan
berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan
serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, "Aku
takut kepada Allah", seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah
lalu
menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak
mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, seseorang yang
mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya."
(Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Orang yang mencintai Allah SWT dengan hati yang ikhlas semestinya
akan merasa keagungan dan kebesaran Allah. Oleh itu di saat ia
bertafakur kepada Allah akan keluarlah air mata kerinduan dan keinsafan
dari dalam dirinya.

Dalam riwayat yang lain pula, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya
: "Tanda cintakan Allah SWT ialah mengingati Allah SWT (zikrullah) dan
tanda Allah SWT murka kepada hamba ialah dia tidak suka mengingati
Allah." (Hadis Riwayat Baihaqi)
Ciri khas dalam akidah yang wajib ada dalam diri setiap individu
adalah perasaan cintakan Allah kerana ia merupakan kayu ukur terpenting
dalam menilai kualiti iman seorang muslim yang sebenar.

Antara sifat mereka ialah sentiasa merasa bahagia apabila mengingati
Allah iaitu mereka banyak berzikir, mengerjakan sembahyang, membaca
al-Quran dan sebagainya sebaliknya bagi orang yang tidak cintakan
Allah, dia merasa bosan dan rimas apabila mendengar kalimah-kalimah
Allah dan malas untuk berzikir (mengingati Allah) jauh sekali untuk
beribadat kepada Allah.
Sesungguhnya orang yang selalu mengingati Allah (di kala senang
mahupun susah) akan mendapat pemeliharaan daripada Allah SWT,
kehidupannya sentiasa terkawal dan terpimpin, jalan hidupnya sentiasa
sejahtera dan selamat.
Sebaliknya mereka yang lalai daripada mengingati Allah, kehidupannya akan didapati kosong, kecewa dan hampa.

13. Berjaya menyucikan jiwa dari mazmumah
Hidup tak akan tenang jika hati penuh hasad dengki, tamak, takut,
benci, keluh-kesah dan lain-lain sifat mazmumah. Tidak hairanlah
dikatakan, orang yang bersih hatinya dari sifat mazmumah ini adalah
orang yang mendapat kebaikan di dunia. Bila menghadapi musibah, dia
sabar dan bersangka baik dengan Allah.

Misalnya jika ada orang terganggu dengan turunnya hujan pada waktu
hujan itu `tak diperlukan´, dia sentiasa mencari hikmah di sebaliknya.
Bila dapat nikmat pula, dia bersyukur. Hatinya tak pernah keluh-kesah.
Firman Allah Taala: "Sesungguhnya berjaya dan beruntunglah orang yang
menyuci (membersihkan) jiwanya." (Surah Al-A´la, ayat 14)

14. Mati di dalam kebaikan (Husnul Khotimah)
Ini merupakan penutup segala kebaikan di dunia. Firman Allah SWT :
"....demikianlah Allah memberi balasan kepada orang-orang yang bertaqwa,
(iaitu) orang-orang yang diwafatkan dalam keadaan baik oleh para
malaikat dengan mengatakan (kepada mereka) Salamun `Alaikum." (Surah
An-Nahl, ayat 32)

Sabda Rasulullah SAW : "Sebaik-baik amalan itu ialah bahawa kamu
berpisah dengan dunia ini sedangkan lidahmu basah berzikir kepada
Allah." (Hadis Riwayat Abu Na´im)

Para ulama yang beramal dengan ilmunya melihat sesuatu dengan mata
hati. Oleh itu, dalam senarai kebaikan di dunia yang mereka turunkan di
atas, tidak ada perkara-perkara berbentuk nikmat zahir semata-mata.
Misalnya mereka tidak kata kebaikan di dunia itu ada pada rumah besar,
kedudukan tinggi, isteri cantik, duit banyak, nama popular, kenderaan
mewah dan lain-lain yang sering kita buru hari ini. Semua ini tidak ada
dalam senarai para ulama. Bermakna, mendapat semua itu belum bererti
mendapat kebaikan yang hakiki.

Kebaikan di dunia itu sebenarnya milik hamba-hamba Allah yang taat -
hamba yang lebih utamakan akhirat dari dunia. Dalam surah an-Nahl ayat
122 dinyatakan bahawa Allah telah mengurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.
hasanah (kebaikan) di atas kehidupan dunia.
Ayat ini menjadi dalil bahawa ada kebaikan duniawi yang Allah akan
beri kepada hamba-hamba- Nya yang dikehendaki. Walaupun mengutamakan
akhirat, Allah akan dahulukan bermacam-macam kebaikan buat mereka di
dunia lagi. Dan segala kebaikan itu pula bermanfaat untuk akhirat
mereka.


[2.200] "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia, dan
tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat." [2.201] "Ya
Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan
peliharalah kami dari siksa neraka

Tiada ulasan:

Catat Ulasan